Program Kerjasama/Kolaborasi UTM merupakan program akademik yang dijalankan melalui kerjasama dengan kolej swasta di seluruh negara. Program Kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi peluang kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk melaksanakan program akademik di premis masing-masing dengan menggunakan kemudahan sedia ada, termasuk kemudahan fizikal, sumber manusia, kewangan serta kemudahan lain sebagaimana yang ditetapkan oleh syarat UTM.
Kerjasama ini dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang membolehkan IPTS melaksanakan program akademik berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh IPTA.
Di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), sebanyak tiga (3) program kerjasama peringkat Diploma ditawarkan, iaitu Diploma Sains Komputer, Diploma Pengurusan dan Diploma Perakaunan. Selain itu, KAYM turut menawarkan dua (2) program kerjasama peringkat Ijazah bersama UTM, iaitu Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) dan Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia).
Kerjasama antara KAYM dan UTM telah terjalin selama 29 tahun, menjadikan KAYM satu-satunya kolej swasta di Malaysia yang menawarkan program kerjasama peringkat ijazah UTM. Sepanjang tempoh tersebut, kerjasama ini telah melahirkan ramai graduan diploma dan ijazah yang berjaya memperoleh peluang pekerjaan yang baik, serta ada yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pada Majlis Makan Malam Konvokesyen UTM ke-69 yang berlangsung pada November 2025, seramai 16 orang pelajar KAYM telah menerima Anugerah Graduan Terbaik bagi program kerjasama UTM peringkat Diploma, manakala seorang pelajar peringkat Ijazah turut menerima Anugerah Graduan Terbaik bagi kategori program kerjasama UTM.
KAYM sentiasa komited dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang berkualiti tinggi untuk semua pelajar yang mengikuti program kerjasama UTM, selaras dengan aspirasi institusi untuk melahirkan graduan yang cemerlang dan berdaya saing.



